Arena esukan global bakal menerima suntikan dana besar apabila Esports Foundation (EF) mengumumkan 40 kelab elit dunia telah dipilih untuk menyertai Program Rakan Kelab 2026. Program yang kini memasuki edisi ketiga itu menyediakan peruntukan sebanyak AS$20 juta bagi memperkasakan ekosistem kompetitif antarabangsa.
Melalui inisiatif ini, setiap kelab yang terpilih berpeluang menerima pembiayaan sehingga AS$1 juta. Dana ini bukan sekadar bantuan kewangan, malah bertujuan untuk membantu kelab mengembangkan jenama, memperkukuh operasi pemasaran, serta meningkatkan penglibatan peminat menjelang kejohanan berprestij Esports World Cup (EWC) 2026.
Dominasi Kelab Gergasi Dunia
Senarai 40 kelab yang terpilih kali ini merangkumi nama-nama besar yang mempunyai pengaruh luar biasa, iaitu 100 Thieves, 9z Globant, All Gamers, Alpha7 Esports, Cloud9, Edward Gaming, Fluxo. W7M, Fnatic, FURIA, FUT Esports, G2 Esports, GAM Esports, Gen.G, Gentle Mates, GodLike, HEROIC, JD Gaming, LEVIATAN, MOUZ, NAVI, NIP.eStar, NRG, ONIC, REJECT, S8UL, Sentinels, T1, Team Falcons, Team Heretics, Team Liquid, Team RRQ, Team Secret, Team Spirit, Team Vitality, Titan Esports Club, Twisted Minds, Virtus.pro, Weibo Gaming, Wolves Esports, ZETA DIVISION.
Secara kolektifnya, kelab-kelab ini mempunyai pangkalan peminat yang sangat besar iaitu melebihi 300 juta orang di seluruh pelosok dunia termasuk dari China, India, MENA, dan Amerika Latin.
Bukan mudah untuk terpilih; EF menerima lebih 150 permohonan dari seluruh dunia. Pemilihan dibuat berdasarkan prestasi kompetitif tahunan, tahap sokongan peminat, serta visi strategik pemasaran setiap kelab. Menariknya, lapan buah kelab telah menerima jemputan terus hasil daripada kedudukan cemerlang mereka dalam Kejohanan Kelab EWC 2025 yang lalu.
Dengan jumlah keseluruhan lebih AS$100 juta yang telah diagihkan oleh EF sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, program ini jelas menjadi pemacu utama dalam memastikan industri esports kekal mampan dan terus berkembang sebagai sukan arus perdana.


