Januari yang lalu, International Esports Federation (IESF) mengesahkan bahawa Bali, Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi pusingan akhir temasya World Esports Championship (WEC). IESF telah mengumumkan jumlah hadiah sebanyak 500,000 dolar Amerika untuk diberikan pada acara yang akan datang, dari 27 November hingga 9 Disember 2022.
IESF juga mengumumkan enam permainan yang akan dipertandingkan pada temasya itu; Counter-Strike: Global Offensive (CS: GO), Dota 2, Tekken 7 dan eFootball akan kembali ke Kejohanan WE tahun ini dan permainan mudah alih PUBG Mobile & Mobile Legends: Bang Bang akan ditampilkan buat pertama kalinya.
Yang menjadi tanda tanya kami, temasya ini seperti tidak diketahui di negara ini. Tiada hebahan dari badan e-sukan tempatan seperti Malaysia Electronic Sports Federation (MESF) atau Esports Integrated (ESI). Pusingan kelayakan bagi mencari wakil negara ke Sukan SEA yang lepas atau Sukan Asia akan datang ada dijalankan. Tetapi tidak untuk temasya ini. Tiada pengumuman mengenai pencarian atau pendaftaran pusingan kelayakan untuk permainan yang terlibat.
Untuk maklumat, Malaysia mempunyai keahlian dikalangan 123 negara yang menyertai IESF. Pada edisi IESF WEC yang lepas, Malaysia tidak menghantar wakil atas sebab ianya dianjurkan di Israel. Kali terakhir negara mempunyai wakil adalah pada tahun 2019 dan negara tidak pernah terlepas menghantar wakil sejak tahun 2016. Selain dari itu, bekas pemain Dota 2 Malaysia Tiffani “Oling” Lim dilantik sebagai Jawatankuasa Atlet untuk IESF pada awal tahun 2021 yang lalu.
Adakah kerana pasukan dan pemain di Malaysia tidak akan mendapatkan apa-apa kedudukan yang baik didalam temasya ini lantas keputusan untuk tidak menghantar mereka sebagai wakil negara diputuskan? Dan ini juga membuat kami berfikir, bagaimana wang bajet 2022 sebanyak RM20 juta yang diperuntukkan dimanfaatkan bagi pembangunan e-sukan negara.