Arena esukan negara kini makin dipandang baik oleh kerajaan negeri. Semalam, pemain PUBG Mobile Jumper (nama sebenar Muhammad Izzrudin Hashim) dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Negeri Sembilan. Ini bukanlah pertama kalinya kerana sebelum ini Soloz (Mohd Faris Zakaria) juga dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Negeri Sembilan pada awal tahun lalu.
Pengurniaan pingat tersebut berlangsung didalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat buat kali ke 2 pada 31 Januari 2023 di Istana Besar Negeri Sembilan oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Jumper sebelum ini pernah mewakili negara dalam Sukan SEA ke-31 di Vietnam dalam kategori esukan untuk acara PUBG Mobile Berkumpulan dan Solo.
Selain dari itu, Jumper juga pernah menerima anugerah oleh Malaysia Book of Records bersama pasukan Yoodo Gank yang pada masa itu terdiri dari Aiman “Man Parang” Amirul sebagai kapten, Abdul Azim “Draxx” Ikromi Abdul Rashid, and Ahmad “Fredo” Fuad Razali atas kejayaan mereka menjuarai PUBG Mobile Pro League Southeast Asia Musim Pertama.
Diharapkan dengan penganugerahan pingat ini, ianya akan memberikan inspirasi kepada anak muda dan belia dalam mengharumkan nama negeri dan seterusnya negara dipersada antarabangsa didalam bidang yang mereka ceburi – termasuk esukan. Ianya juga diharapkan membuka mata pihak-pihak lain bagi membantu dalam pembangunan dan perkembangan atlet-atlet esukan negara.