Pasukan dari Thailand, eArena, dinobatkan sebagai juara PUBG MOBILE Super League (PMSL) SEA Summer 2025 selepas persembahan yang dominan sepanjang Grand Finals selama tiga hari yang berlangsung di BASKETHALL GBK, Jakarta.


Acara berprestij ini menyaksikan 16 pasukan terbaik Asia Tenggara bersaing untuk merebut kejuaraan, bahagian daripada jumlah hadiah USD 200,000, dan yang paling penting – tiket ke PUBG MOBILE World Cup (PMWC) 2025 yang akan berlangsung di Riyadh pada 25 Julai hingga 3 Ogos nanti.


Pasukan eArena tampil garang dengan kutipan 148 Smash Points seawal Match 2 pada hari terakhir. Mereka mengesahkan kejuaraan apabila menumpaskan Team Secret untuk mendapatkan WWCD pada Match 3, sekaligus menamatkan cabaran pasukan lain. Bersama mereka yang layak ke PMWC 2025 ialah Alter Ego Ares dari Indonesia dan Team Secret dari Malaysia.
Dua wakil Malaysia yang berjaya ke Grand Finals, CelcomDigi Alliance (CDAL) dan SEM9, masing-masing menamatkan cabaran di tempat ke-7 dan ke-12. SEM9 berjaya meraih satu WWCD pada hari kedua, manakala CDAL menutup kempen dengan baik pada hari ketiga, tetapi kedua-duanya gagal mengejar mata eArena yang terus mendominasi.


Dengan tamatnya PMSL SEA Summer, kini fokus beralih kepada musim PMSL SEA Fall 2025. Pasukan Malaysia dijangka melakukan rombakan strategik dan penambahbaikan bagi memburu slot ke PUBG MOBILE Global Championship (PMGC) 2025. Nantikan cabaran sengit musim akan datang!