Garena hari ini melancarkan peta jalan (roadmap) esports Call of Duty®: Mobile bagi rantau Singapura, Malaysia dan Filipina (SMP) untuk separuh pertama tahun 2026. Roadmap ini menawarkan laluan lebih tersusun buat pemain dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pentas dunia, merangkumi kedua-dua mod permainan utama iaitu Multiplayer (MP) dan Battle Royale (BR).
Tiga Kejohanan Utama Menanti


Garena menyediakan tiga kejohanan utama dengan jumlah hadiah keseluruhan mencecah USD$110,000 (lebih RM500,000) dalam tempoh Februari hingga Mei 2026:
- Community Gladiators Musim 1 (1-28 Februari 2026) – Hadiah USD$10,000. Kejohanan akar umbi ini memfokuskan kepada mod BR dengan format mesra pemain termasuk pertarungan Duo dan Team. Perlawanan akhir berlangsung sehingga 28 Februari di YouTube Garena CODM.
- Garena Masters 10 (15 Februari – 15 Mac 2026) – Hadiah USD$40,000. Kejohanan berprestij ini khusus untuk mod MP dan terbuka kepada semua pemain di rantau SMP.
- Garena Summer Invitational (GSI) (April-Mei 2026) – Hadiah USD$60,000. Sebuah kejohanan berskala serantau yang akan menampilkan pasukan-pasukan terbaik dari ketiga-tiga negara. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Laluan ke Kejuaraan Dunia
Kemuncak tahunan, Kejuaraan Dunia Call of Duty®: Mobile (CODMWC) akan berlangsung dalam lima peringkat dari Mei hingga November. Pasukan SMP akan memulakan saingan di peringkat ketiga menerusi Garena Masters 11 pada Julai, sebelum mara ke Kelayakan Serantau Garena pada Ogos. Hanya dua pasukan terbaik akan layak ke Pentas Akhir Kejuaraan Dunia yang berlangsung secara offline pada November 2026.


Kejayaan pasukan Filipina, Elevate PuK dan Stalwart Esports, yang bergelar naib juara dunia dan tempat ketiga pada 2025 menjadi inspirasi buat pemain Malaysia untuk merebut peluang ke peringkat global tahun ini.
Pemain boleh mendapatkan maklumat lanjut dan pendaftaran kejohanan melalui saluran rasmi Call of Duty®: Mobile – Garena di Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok.

