Semalam, pihak PlayStation mengumumkan dimana permainan Saint Row, Black Desert – Traveler Edition dan Generation Zero akan tersedia kepada ahli PlayStation Plus pada hari Selasa, 5 September hingga Isnin, 2 Oktober ini. Selain dari pengumuman ini, mereka juga mengumumkan harga baharu bagi langganan PlayStation Plus untuk 12-bulan. Pihak PlayStation menyatakan, perubahan harga ini akan berkuat kuasa bermula 6 September dan pelarasan harga ini akan membolehkan mereka terus membawa permainan berkualiti tinggi dan faedah nilai tambah kepada perkhidmatan langganan PlayStation Plus mereka.
Walau bagaimanapun, harga baharu ini hanyalah untuk langganan 12 bulan sahaja, manakala harga bagi langganan 1 bulan dan 3 bulan masih dikekalkan buat setakat ini. Namun demikian, kenaikan harga bagi langganan 12-bulan ini masih lagi lebih murah jika dibandingkan dengan pakej langganan 1 atau 3 bulan.
Berikut adalah harga baru bagi langganan 12 bulan PlayStation Plus
- 12 Bulan PlayStation Plus Essential – RM235
- 12 Bulan PlayStation Plus Extra – RM400
- 12 Bulan PlayStation Plus Deluxe – RM460
Untuk pelanggan 12 bulan semasa, kenaikan harga ini tidak akan berkuat kuasa sehingga tarikh pembaharuan mereka yang seterusnya yang berlaku pada atau selepas 6 November. Walau bagaimanapun, sebarang perubahan keahlian yang anda buat pada atau selepas 6 September, seperti naik taraf, menurunkan taraf atau membeli masa tambahan, akan mengemas kini pelan anda kepada harga baharu.
Sumber: PlayStation.Blog