Selepas melalui tempoh soft launch yang agak panjang, Rainbow Six Mobile akhirnya dilancarkan secara global hari ini. Pelancaran penuh ini hadir hampir tiga tahun selepas dua sesi beta awal yang berlangsung pada pertengahan 2023.
Versi global ini hadir dengan tujuh peta termasuk lokasi ikonik seperti Clubhouse dan Villa, selain dua peta eksklusif mudah alih iaitu Restaurant dan Summit. Pemain juga kini boleh memilih lebih 20 Operator — peningkatan daripada 16 Operator yang tersedia ketika fasa soft launch.
Dari segi mod permainan, pemain boleh bertarung dalam format 5v5 menerusi mod Bomb, Bomb Rush dan Team Deathmatch. Turut disediakan pilihan Ranked, Private Match serta Quick Play bagi memenuhi gaya permainan berbeza.


Kini, pelancaran global hadir bersama musim pertama, Operation Sand Wraith yang memperkenalkan suasana bertemakan padang pasir serta Operator baharu, Deimos dengan kebolehan DeathMARK Tracker.


Persoalannya, mampukah Rainbow Six Mobile menjadi satu lagi peluang untuk membina ekosistem kompetitif di Malaysia? Atau adakah ia bakal melalui nasib yang sama seperti Call of Duty: Mobile (CODM) yang dilihat gagal menjadi pilihan pemain di scene kompetitif tempatan? Apa pun, bagi peminat FPS taktikal, ini mungkin masa terbaik untuk mula grind dan lihat sejauh mana potensi game ini di arena esports Malaysia.


