Tamatlah sudah kejohanan ESL Snapdragon Mobile Challenge musim ke-2 yang diadakan di Mal Anggrek di Jakarta, Indonesia. Setelah dua hari perlawanan ini dilangsungkan, akhirnya pasukan Saudara e-Sports Alfaink berjaya menjulang kejuaraan di peringkat yang berprestij ini.
Memiliki kelebihan sebagai tuan rumah, Saudara e-Sports Alfaink berjaya menggapai satu kejayaan yang amat bermakna buat Indonesia dan juga komuniti Free Fire disana. Dengan memungut sebanyak 149 mata secara keseluruhan mereka berjaya membawa pulang wang hadiah terkumpul sebanyak $70,000 (kira-kira RM298,000).
Sekali lagi tuah buat tuan rumah apabila ditempat yang kedua juga berjaya dimiliki oleh pasukan dari Indonesia iaitu First Rider Eclipse. Dilihat pada hari pertama, kedua-dua pasukan ini nampak kurang menyerlah, namun sebaliknya pada hari terakhir, mereka berjaya mencipta kejutan buat peminat mereka. Sebanyak 144 mata yang berjaya mereka kumpul dan membawa pulang $32,000 (RM136,000).
Tempat ketiga pula jatuh kepada pasukan dari Thailand iaitu Evos Phoenix. Mereka berkongsi mata dengan pasukan First Rider Eclipse, namun kelebihan memihak kepada pasukan First Rider Eclipse apabila mereka memiliki mata singkir yang lagi banyak berbanding pasukan Evos Phoenix. Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang terkumpul sebanyak $30,000 (RM127,000).
Tahniah juga diucapkan kepada pasukan yang mewakili Malaysia iaitu Expand dan juga SEM9. Pasukan Expand berjaya menduduki tempat ke 7 dengan pungutan mata sebanyak 114 manakala SEM9 pula tempat ke 12 dengan pungutan mata sebanyak 59 mata.
Tidak dapat menjadi juara buat edisi kali ini, anggaplah seperti ini titik permulaan untuk bangkit dan menjadi juara untuk musim yang akan datang. Teruskan berusaha untuk membanggakan pasukan anda dan juga membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.