Seperti yang diketahui Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China sepatutnya berlangsung pada 10 hingga 25 September 2022 ini. Tetapi awal bulan lepas, Majlis Olimpik China menunda temasya tersebut ke satu tarikh yang belum dipastikan lagi. Walau bagaimanapun, Asian Electronic Sports Federation (AESF) mengumumkan acara Road to Asian Games (RDAG) Regional 2022 akan diteruskan secara online seperti yang dirancang.
Road to Asian Games Regional adalah kejohanan kelayakan bagi menentukan pasukan manakah yang akan mewakili negara ke Sukan Asia nanti. Majlis Olimpik Malaysia telah membuka pendaftaran bagi semua acara yang dipertandingkan di Sukan Asia, tetapi untuk permainan PUBG Mobile ianya akan diadakan secara jemputan sahaja kepada pasukan-pasukan PMPL Malaysia.
Hujung minggu ini (Sabtu & Ahad), akan berlangsung bagi pusingan kelayakan untuk memilih pasukan yang akan mewakili Malaysia untuk PUBG Mobile. 16 pasukan telah pun diperkenalkan dan terdapat beberapa pasukan baru. Dan ura-ura mengatakan beberapa pasukan seperti Team Secret, Axis redONE, SEM9, dan lain-lain akan beraksi dengan barisan pemain baru mereka.
Pusingan kelayakkan ini akan bermula pada jam 1 petang 25 Jun 2022 dan anda boleh saksikan di saluran dan halaman rasmi PUBG Mobile Esports Malaysia, IO Esports, atau saluran beberapa streamer Malaysia.