Hujung minggu yang lalu, Malaysia menghantar 3 pasukan bagi mewakili negara di Kejohanan Esukan Komanwel 2022 (CEC 2022) yang berlangsung pada 6 hingga 7 Ogos 2022. Tiga acara yang diwakili oleh atlet negara iaitu DOTA 2 (Open), DOTA 2 (Wanita) dan eFootball (Open).
Mohd Nor Haikal Noh yang juga mewakili juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), menyumbang pingat emas pertama untuk negara dalam acara eFootball. Beliau mendapat kemenangan 2-0 menentang wakil negara Scotland.
Emas kedua kotinjen negara hadir pada acara seterusnya iaitu DOTA 2 (Wanita) dimana pasukan negara membenam tuan rumah (England) dengan keputusan 2-0. Pasukan DOTA 2 (Wanita) negara dibarisi oleh Stephanie “Auroraa” Lim, Nadrah “Nada” Saufi, Wong “HG” Wei Sian, Bette “iStarx” Chia dan Tan “Shizuma” Lyn Xhin mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sepanjang kejohanan tersebut.
Pasukan DOTA 2 negara yang terdiri daripada pemain-pemain dari pasukan Atlantis menutup kejohanan CEC 2022 memberi kilauan emas ketiga dengan kemenangan 2-1 menentang England. Pasukan Atlantis yang dibarisi oleh William “Mango’ROSE” Yeoh, Denise “Wonder’boy” Danial Abdullah, Chung “Ws” Wei Shen, Ahmad “Ahyad” Ayhad Husam, Pang “ponyo” Sze Xuan dan Yong “LOyd” Bing Jie menang pada perlawanan pertama dan tewas pada perlawanan kedua, sebelum bangkit dengan kemenangan dalam permainan penentuan.
Dengan tiga pingat emas yang diperolehi, Malaysia mengungguli carta kutipan pingat di CEC 2022. Tuan rumah; England di tempat kedua, dengan satu emas, tiga perak dan satu gangsa. Wales melengkapkan tiga teratas dengan emas, perak dan gangsa.
Foto & Info : GlobalEsports