Pencarian 3 lagi pasukan untuk PMPL SEA Championship Fall 2022 kini telah tamat. Don’t Break Dreams (DBD) wakil dari PMPL MYSGPH Fall 2022 berjaya melayakkan diri bersama 2 lagi pasukan dari PMPL Thailand iaitu Vampire Esports (VPE) dan TEM Entertainment (TEM). Pusingan yang dikenali sebagai PMPL SEA Play-In tersebut dijalankan selama 2 hari bermula 3 September dan berakhir pada 4 September 2022 disertai oleh beberapa pasukan dari PMPL MYSGPH Fall, PMPL Indonesia Fall, PMPL Thailand Fall, PMPL Vietnam Fall dan Asia Pacific Cup.
DBD beraksi dengan baik pada hari pertama dengan mendahului carta dengan mengutip 75 mata. Rezeki menyebelahi mereka walaupun hanya berjaya menambah 35 mata pada hari ke 2 dan seterusnya melayakkan mereka ke PMPL SEA buat kali pertama sejak penampilan mereka di PMPL. Kehadiran juara PUBG Mobile World Invitational 2022 (PMWI) iaitu Vampire Esports pada mula sedikit mengejutkan kerana tidak berjaya melayakkan diri secara terus ke PMPL SEA. Tetapi mereka membuktikan mereka adalah satu pasukan yang patut digeruni dengan mengungguli PMPL SEA Play-In ini.
Bagi pasukan TEM Entertainment, peningkatan secara mendadak pada hari ke-2 dengan berjaya menggondol 3 WWCD seterusnya menempah tiket PMPL SEA. Bagi pasukan Team Haq yang hanya menduduki tangga ke-4 dalam carta adalah satu pencapaian yang dibanggakan untuk musim ini. Jika mahu dibandingkan pada musim yang lalu, pasukan ini langsung tidak berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir PMPL MYSGPH Spring 2022.
Walau bagaimanapun, sebentar tadi pihak PUBG Mobile Esports Vietnam mengumumkan 2 pasukan iaitu Phoenix Esports dan Eighteen Plus dijatuhkan hukuman larangan bermain dimana-mana kejohanan rasmi PUBG Mobile selama 1 tahun bermula 4 September 2022 atas kesalahan ‘teaming‘ yang berlaku semasa pusingan ke-4 hari kedua PMPL SEA Play-In.