Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2020-2025 (“Pelan Strategik Sukan Elektronik”) pada tahun 2020 yang menggariskan lima strategi dengan objektif utama untuk merangsang dan menggalakkan pembangunan industri sukan elektronik yang semakin pesat di Malaysia. Strategi-strategi yang dibangunkan dalam pelan strategik tersebut adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
Selaras dengan inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik tersebut, Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) bagi memperincikan tindakan-tindakan yang menyokong pelaksanaan strategi-strategi yang terkandung di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik. Agensi di bawah KBS yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan NESDEG, iaitu Impact Integrated menerusi inisiatif Esports Integrated (ESI) dengan kerjasama FUTURISE (sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia) akan bertindak sebagai pemacu bagi pelaksanaan NESDEG ini.
Pemain, atlet, penerbit permainan, penganjur acara, agensi-agensi kerajaan dan swasta berperanan penting dalam memberi impak atas prestasi dan kejayaan pembangunan sektor sukan elektronik di Malaysia. NESDEG menetapkan enam teras utama bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih baik dan pengawalan yang lebih berkesan mengenai aktiviti sukan elektronik tertakluk pada perubahan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Ianya dirangka berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan garis panduan sedia ada di bawah agensi yang berkaitan.
Antara isi-isi penting panduan ini, memberi panduan kepada pemain atau individu ke atas kontrak yang ditandatangani bersama pemain, kelab, penganjur atau mana-mana individu atau entiti. Antaranya menitik beratkan tempoh perjanjian, perincian kos kewangan seperti gaji, bonus, wang hadiah perlawanan, dan lain-lain. NESDEG juga memberikan contoh kontrak bagi memudahkan pemain atau kelab menyediakan kontrak yang adil, menyatakan hak dan tanggungjawab dengan jelas serta mudah difahami. Selain itu, panduan ini menerapkan kesemua penganjuran acara mengambil kira standard antarabangsa yang dilesenkan oleh pihak yang terlibat berkuasa tempatan dan antarabangsa.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan panduan ini boleh memuat-turun salinan melalui laman rasmi NESDEG. Sebarang maklumbalas dan penambahbaikan yang perlu dilakukan anda boleh salurkan terus ke laman rasmi mereka juga.