Bagi memastikan kualiti VALORANT Champions Tour (VCT) Pacific League ditahap tertinggi, pembangun Riot Games mengumumkan penyingkiran Bleed Esports daripada liga kerana kegagalan mematuhi keperluan kritikal sebagai pasukan rakan kongsi. Pengumuman ini dibuat pada hari ini melalui media sosial Riot Games, yang menerangkan sebab di sebalik penyingkiran Bleed Esports.
Bleed Esports disingkirkan kerana kegagalan mematuhi keperluan pelaporan kritikal dan tanggungjawab utama lain di bawah Perjanjian Penyertaan Pasukan (TPA). Menyingkirkan pasukan daripada ekosistem e-sukan Riot Games bukanlah keputusan yang diambil dengan mudah. Walau bagaimanapun, disebabkan kegagalan operasi yang berterusan, Bleed Esports tidak lagi akan menyertai VCT Pacific demi melindungi kepentingan terbaik pemain dan liga. Para pemain yang terjejas telah dimaklumkan mengenai keputusan ini sebaik sahaja ia dibuat, supaya mereka boleh meneroka peluang lain dengan segera.
Bleed juga telah memuat naik kenyataan mengenai keputusan Riot ini.
Bleed Esports pada asalnya memperoleh tempat dalam VCT Pacific League selepas memenangi VCT Ascension Pacific 2023 di Bangkok. Organisasi dari Singapura itu mengekalkan tiga pemain utama, kemudian menambah Javier “Egoist” Chua dan pemain duelist dari Amerika Utara, Jaccob “yay” Whiteaker. Pasukan itu juga membuat beberapa penyesuaian barisan pemain dalam bulan-bulan yang menyusul tetapi mereka gagal memperoleh kedudukan yang baik dalam beberapa kejohanan utama pada tahun ini.
Dengan penyingkiran Bleed daripada Pacific League, Riot mengesahkan bahawa BOOM Esports, naib juara VCT Ascension 2024, akan menggantikan tempat mereka. Kenyataan itu juga menegaskan bahawa format 12 pasukan akan terus kekal, dengan berkata, “Perubahan ini tidak akan menjejaskan format VCT Pacific 2025; liga akan terus berjalan dengan 12 pasukan seperti yang dirancang.”