Acara kemuncak Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) iaitu M6 World Championship bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, dengan tema #GreaterThanEver. Edisi ke-6 ini membawa perubahan besar dengan peningkatan hadiah wang tunai dan format pertandingan baru yang lebih menarik, mencerminkan perjalanan epik pasukan-pasukan dunia dalam mencapai kehebatan di pentas profesional MLBB.
Road to M6 World Championship
M6 dimulakan dengan Peringkat Wild Card pada 21-24 November 2024, memberi peluang kepada pasukan dari rantau yang sedang meningkat untuk menunjukkan kebolehan mereka. Lapan pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bersaing dalam format round-robin (BO3). Juara setiap kumpulan akan mara ke fasa kedua Wild Card, manakala enam pasukan lain akan tersingkir. Juara kumpulan akan bertarung dalam perlawanan BO5, di mana pemenang akan layak ke Peringkat Utama M6 World Championship.
Perlawanan Wild Card akan bermula pada pukul 2 petang dari 21-23 November, manakala fasa kedua pada 24 November akan bermula pada pukul 5 petang.
Format Pertandingan
Buat julung kalinya dalam sejarah M Series, Peringkat Utama akan menggunakan format Swiss, di mana undian kumpulan akan dilakukan selepas setiap pusingan. Bermula 28 November 2024, 16 pasukan akan bersaing dalam lima pusingan. Lapan pasukan yang berjaya mencatat tiga kemenangan akan mara ke Peringkat Knockout, manakala pasukan yang tewas tiga kali akan tersingkir.
Peringkat Knockout akan dijalankan dalam format double-elimination, dengan pusingan pertama dalam format BO3 bermula pada 7 Disember 2024. Pusingan kedua akan berlangsung dalam format BO5 dari 8 hingga 14 Disember. Perlawanan akhir, perlawanan kemuncak dalam format BO7, akan berlangsung pada 15 Disember 2024, bermula jam 5 petang. Bagi mereka yang kurang faham akan format Swiss ini, boleh tonton video dibawah.
M6 World Championship menjanjikan aksi sengit dengan 16 pasukan antarabangsa bersaing untuk merebut hadiah wang tunai terbesar dalam sejarah kejohanan ini, dengan nilai terkumpul sebanyak USD 1 juta. Sejak edisi pertamanya, Kejohanan Dunia M1 pada 2019 di Kuala Lumpur, siri M telah berkembang menjadi salah satu acara esukan paling popular di dunia. Kejohanan Dunia M5 sebelum ini mencatatkan jumlah tontonan puncak seramai 5.06 juta penonton menurut Esports Charts.
Siapa yang bakal menjulang trofi kejuaraan dan menjadi pasukan terbaik dunia? Nantikan M6 – lebih hebat dari sebelumnya!