Fnatic Onic Philippines (FNOP) memenangi kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 World Championship selepas menundukkan Team Liquid Indonesia (TLID) 4-1 dalam siri terbaik daripada tujuh (BO7). Kemenangan ini melengkapkan rekod tanpa kalah FNOP sepanjang M6, sekaligus memberikan gelaran M Series kelima berturut-turut buat Filipina sejak M2 pada 2021. Mereka membawa pulang bahagian terbesar daripada hadiah wang tunai USD 1 juta.
Selangor Red Giants Gagal Capai Golden Road
Selangor Red Giants (SRG) menamatkan perjuangan mereka di tempat ketiga selepas tewas kepada TLID dalam Lower Bracket Finals. Kekalahan ini turut menghentikan impian Golden Road mereka – memenangi semua gelaran MLBB utama dalam satu tahun.
Bintang Utama FNOP Bersinar
Pemain Gold Lane, Duane “Kelra” Pillas, dinobatkan sebagai Grand Finals Most Valuable Player (FMVP). Barisan FNOP yang lain terdiri daripada Jann Kirk “Kirk” Gutierrez (EXP Laner), King Cyric “K1NGKONG” Perez (Jungler), Frince Miguel “Super Frince” Ramirez (Mid Laner), Borris James “Brusko” Parro (Roamer), dan Brian Milez “SpiderMilez” Santos (Roamer). Pasukan ini dibimbing oleh Anthony Dennis “Ynot” Senedrin sebagai Ketua Jurulatih dan Jeniel “YellyHaze” Bata-Anon sebagai Penolong Jurulatih.
Statistik & Populariti M6
Final yang berlangsung di Axiata Arena disaksikan lebih 7,000 penonton secara langsung, manakala peak concurrent viewers (PCV) mencecah 4.129 juta – menjadikan M6 edisi ketiga paling popular dalam sejarah. Penonton purata meningkat 66% kepada 709,919, dengan TikTok menyumbang 31% daripada jumlah tontonan.
M7 Kembali ke Indonesia
M7 World Championship akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Januari 2026, seperti diumumkan di M6 Summit. Kejohanan ini diharap mampu mempromosikan Indonesia sebagai hab sukan elektronik Asia dan mendedahkan lebih ramai bakat tempatan ke peringkat antarabangsa.
MLBB Dilancar di China & Esports World Cup
MOONTON Games juga mengumumkan pelancaran rasmi MLBB di China pada Januari 2025, membuka peluang untuk pemain dan pasukan China bersaing dalam kejohanan global. Selain itu, MLBB akan kembali ke Esports World Cup dengan MSC 2025 dan MWI 2025, sebahagian daripada kalendar kompetitif MLBB 2025 yang padat.
Logo Baru untuk Era Baru
MLBB turut memperkenalkan logo baru yang melambangkan semangat kompetitif dan inovasi baharu, bertepatan dengan pencapaian 1.5 bilion pendaftaran pemain secara global.
M6 World Championship bukan sahaja mempamerkan kehebatan pasukan seperti FNOP, tetapi turut menjadi bukti bahawa MLBB terus relevan dan berkembang pesat di arena sukan elektronik global. Bagi peminat Malaysia, walaupun SRG gagal mencapai Golden Road, semangat mereka di pentas dunia tetap membanggakan. Ayuh, terus sokong komuniti MLBB dan nantikan kejutan dari Jakarta pada M7 nanti!