Les’ Copaque Production Sdn Bhd, syarikat di sebalik siri animasi terkenal Upin & Ipin, telah bekerjasama dengan Streamline Studios untuk membangunkan dan menerbitkan permainan berasaskan dunia terbuka yang pertama bertajuk Upin & Ipin Universe. Menurut kenyataan daripada Streamline Studios, permainan ini diilhamkan oleh Kampung Durian Runtuh, iaitu latar tempat utama dalam siri animasi Upin & Ipin. Permainan ini bertujuan untuk menangkap intipati kehidupan kampung di Asia Tenggara, mencerminkan tradisi dan semangat komuniti yang menjadi teras siri animasi tersebut. Pemain akan dapat meneroka persekitaran yang penuh dengan elemen budaya, misi menarik, dan aktiviti yang disepadukan dengan lancar dalam dunia permainan.
Treler pendek selama 19 saat yang dikongsikan ini hanya menunjukkan watak Upin dan Ipin berlari menuju rumah, bersama dengan penampilan ringkas Tuk Dalang dan Kak Ros. Treler tersebut tidak mendedahkan tarikh pelancaran tepat, tetapi mengesahkan bahawa permainan ini akan tiba dalam masa terdekat. Menurut perancangan asal, Upin & Ipin Universe juga dijangka akan dilancarkan untuk konsol Nintendo Switch dan PlayStation 4. Pembangunan permainan ini dikatakan menelan belanja sekitar RM15 juta.


Dengan gabungan keunikan budaya tempatan dan teknologi canggih Unreal Engine 5, Upin & Ipin Universe diharap dapat menarik minat bukan sahaja peminat setia siri animasi tersebut, tetapi juga pemain global yang mencari pengalaman permainan yang segar dan bermakna. Permainan ini dijangka menjadi salah satu judul tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, sekaligus memperkukuh lagi identiti kreatif Malaysia dalam industri permainan video.
Nantikan lebih banyak maklumat mengenai tarikh pelancaran dan ciri-ciri tambahan dalam bulan-bulan mendatang!