Kejohanan esukan terkenal, PUBG MOBILE Super League Southeast Asia (PMSL SEA) Fall 2025, memasuki fasa genting apabila peringkat liga tamat pada 21 September lalu. Kini, tumpuan beralih kepada Grand Final yang bakal berlangsung di centralwOrld, Bangkok dari 26 hingga 28 September ini.


Daripada 16 pasukan yang berjaya mara, dua pasukan Malaysia iaitu Todak (TDK) dan HOMEBOIS x MAQNA Esports Club (HBME) berjaya menempahkan tiket ke pentas akhir. Pencapaian ini sedikit sebanyak menguburkan kekecewaan peminat apabila dua pasukan utama negara, CelcomDigi Alliance (CDAL) dan SEM9, tersingkir lebih awal.
Prestasi Pasukan Malaysia
Todak menunjukkan persiapan mantap dengan pengambilan strategik pemain KENNY dan DEP dari SEM9 pada musim ini. Langkah ini dilihat berhasil membawa nafas baharu kepada skuad tersebut. Manakala, HOMEBOIS x MAQNA Esports Club membuktikan ketahanan mental apabila berjaya mara setelah melalui dua fasa Super Weekend yang kompetitif.


Walaupun CDAL gagal mara, konsistensi prestasi mereka sepanjang dua musim lepas berjaya mengekalkan slot PMGC 2025 untuk Malaysia. Ini merupakan berita baik buat peminat pasukan mereka.
Cabaran di Pentas Akhir
Grand Final bakal menyaksikan 16 pasukan terbaik Asia Tenggara berentap selama tiga hari. Pasukan Malaysia perlu mencapai sekurang-kurangnya kedudukan dua teratas untuk melayakkan diri ke PUBG Mobile Global Championship (PMGC) 2025.


Siaran Langsung untuk Peminat
Peminat boleh mengikuti siaran langsung Grand Final dalam Bahasa Malaysia melalui:
- Facebook, YouTube & TikTok: PUBG MOBILE Esports Malaysia
- Laman Rasmi: PUBG MOBILE Malaysia
Perlawanan akan bermula pada 26 September ini, jam 5:00 petang (GMT+8). Diharapkan kedua-dua wakil Malaysia dapat memberikan persaingan sengit kepada pasukan dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan negara-negara ASEAN yang lain.