Selangor Red Giants OG Esports (SRG) sekali lagi membuktikan dominasi mutlak mereka dalam arena esports tempatan dengan meraih gelaran Juara Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim Ke-16. Ini merupakan gelaran keempat berturut-turut pasukan itu, sekaligus mencipta sejarah baharu dalam persada esports Malaysia.


Kemenangan muktamad tersebut diperoleh SRG setelah menewaskan CG Esports (CG) dengan keputusan telak 4-0. Muhammad Haqqullah “Sekys” Ahmad Shahrul Zaman, jungler SRG, diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai (FMVP) perlawanan akhir.


Kejayaan ini tidak hanya mengukuhkan nama SRG, malah melayakkan kedua-dua pasukan finalis, SRG dan CG, untuk mewakili Malaysia di Kejuaraan Dunia M7 yang berprestij, dijangka berlangsung pada Januari 2026 di Jakarta, Indonesia.
Simon Lim, Pengasas Bersama SRG, menyifatkan kemenangan ini amat bermakna. “Tiada siapa pernah melakukan perkara ini di Malaysia. Saya sangat bangga dengan para pemain kerana mereka terus mencipta sejarah,” katanya.
Musim ini juga mencatatkan peningkatan jumlah penonton dengan lebih 600,000 Tontonan Serentak Puncak, meningkat 20 peratus berbanding musim lalu. Sambutan hangat lebih 10,000 peminat yang membanjiri Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) semasa pusingan Playoffs membuktikan perkembangan pesat komuniti esports di negara ini.


Kemenangan SRG ini bukan sekadar tentang pingat dan piala, tetapi juga membawa aspirasi dan harapan seluruh negara untuk bergambar di pentas global M7. Tahniah kepada SRG dan CG, semoga berjaya di Kejuaraan Dunia M7!


