Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) melangkah ke era baharu yang lebih berani dalam usaha pengembangan globalnya. Di pentas Final Dunia Kejohanan M7 baru-baru ini, Cloud Zhang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MOONTON Games, telah mendedahkan Pelan Hala Tuju Esukan MLBB 2026—sebuah blueprint lima rantau yang direka untuk menyatukan ekosistem global.
M8 Bakal Berlangsung di Turkiye


Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan antarabangsa, Turkiye telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi Final Kejohanan Dunia M8 (M8). Ini menandakan kali pertama kejohanan berprestij MLBB ini diadakan di benua Eropah. Selain itu, pusingan Wild Card M8 pula akan membuat debutnya di Thailand.
MLBB di Pentas Sukan Dunia


Tahun 2026 akan menyaksikan MLBB memahat sejarah di pentas sukan arus perdana:
- Esports Nations Cup (ENC) 2026: MLBB menjadi judul permainan pertama yang disahkan untuk kejohanan ini yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi (23–29 November).
- Sukan Asia Aichi-Nagoya ke-20: MLBB akan membuat debut sebagai acara pingat rasmi, mengukuhkan kedudukannya setaraf dengan sukan tradisional.
- Esports World Cup (EWC) 2026: MLBB akan kembali dengan Mid Season Cup (MSC) dan MLBB Women’s Invitational (MWI) yang menawarkan tabung hadiah terkumpul sebanyak USD 3.5 juta.
Penyatuan Lima Rantau Utama


Bermula 2026, struktur esukan MLBB akan beralih kepada model lima rantau utama untuk mengimbangi pembangunan tempatan dan integrasi global:
- Asia Tenggara (SEA)
- Eropah Timur & Asia Tengah (EECA)
- Eropah, Timur Tengah & Afrika (EMEA)
- Asia Timur (EA)
- Amerika (AMER)


Satu kejohanan rentas benua baharu bertajuk Championship Tour juga akan diperkenalkan di rantau AMER, EA, dan SEA untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang sedang meningkat naik.
Rekod Dunia Terpecah di M7 Jakarta


Kejohanan M7 yang baru berakhir di Jakarta telah mencatatkan sejarah sebagai kejohanan esukan mudah alih paling banyak ditonton setakat ini. Perlawanan Grand Final antara Aurora Gaming PH (RORA) dan Alter Ego (AE) mencapai kemuncak tontonan sebanyak 5.68 juta (PCV).


Pasukan RORA dari Filipina berjaya merangkul kejuaraan dunia selepas menewaskan wakil Indonesia dengan keputusan bersih 4-0, sekali gus membawa pulang gelaran dunia keenam untuk negara Filipina. Manakala tempat ketiga milik wakil negara iaitu pasukan Selangor Red Giants Esports.
Kejayaan Magic Chess: Go Go
Dalam perkembangan lain, dunia auto-battler turut meraikan juara dunia pertama bagi GO1 World Championship iaitu Emil “FLOXY” Sagetdinov dari rantau EECA. Kejohanan Magic Chess: Go Go (MCGG) ini mencatatkan rekod tontonan puncak sebanyak 278,121 penonton, membuktikan potensi besar genre ini dalam arena kompetitif.


Dengan pangkalan pemain melebihi 1.5 bilion muat turun dan 110 juta pengguna aktif bulanan (MAU), MOONTON Games mensasarkan tahun 2026 untuk mencapai lebih 70 rantau, menganjurkan lebih 5,000 acara, dan melangkaui 600 juta jam tontonan secara global.
Sumber foto: Moonton Games


