Kejohanan sulung CrossFire: Legends Championship (CFLC) melabuhkan tirai pada 8 Februari di Manila selepas tiga bulan saingan sengit melibatkan pasukan terbaik Asia Tenggara.


Pasukan Vietnam, Evolution Team (EVO), muncul juara dan membawa pulang sebahagian daripada jumlah hadiah keseluruhan kira-kira RM276,000 (USD70,000). Wakil Filipina, KDM, meraih tempat kedua, manakala HF (Vietnam) dan VF (Filipina) masing-masing di tempat ketiga dan keempat. Grand Final menawarkan hadiah sekitar RM178,000 (USD45,000).


Malaysia turut menghantar wakil termasuk O2 Esports dan TXD, mencerminkan perkembangan positif ekosistem esukan mudah alih tempatan.


Separuh akhir dan final menarik ribuan penonton di lokasi, manakala siaran langsung di TikTok, Facebook dan YouTube mencatat lebih 500,000 tontonan dengan kemuncak melebihi 40,000 tontonan serentak. Kejayaan CFLC mengukuhkan lagi kedudukan Asia Tenggara sebagai hab kompetitif bagi permainan CrossFire: Legends.


