MOONTON Games bersama Malaysia Esports Federation (MESF) dan Esports Integrated (ESI) secara rasmi mengumumkan lapan pasukan rakan kongsi bagi mengemudi era baharu Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL Malaysia) menerusi Program Partnership yang julung kali diperkenalkan. Pengumuman yang berlangsung di MSN Esports Hub itu menyaksikan gabungan organisasi tempatan dan antarabangsa bakal bersaing di bawah satu visi yang sama untuk memacu perkembangan ekosistem esports negara.


Lapan pasukan yang akan menjadi tunjang MPL Malaysia ialah Selangor Red Giants (SRG), Team Vamos (VMS), Team Rey (TR), Rex Regum Qeon (RRQ), Bigetron MY by VIT (BTRM), All Combo (AC), Invictus Gaming (iG) dan Team Flash (TF).
Menurut wakil penganjur, inisiatif ini bukan sekadar perubahan struktur liga, malah mencerminkan kematangan dan hala tuju jangka panjang industri esports tempatan — khususnya bagi komuniti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Malaysia. Dengan barisan lapan pasukan rasmi dan struktur liga yang lebih mampan, MPL Malaysia kini bersedia memasuki Musim 17 dengan momentum baharu dan saingan yang dijangka lebih sengit berbanding musim-musim sebelumnya.

