iQOO kini memperkenalkan iQOO 15R untuk pasaran Malaysia sebagai alternatif lebih mampu milik kepada iQOO 15. Model ini membawakan beberapa penyesuaian spesifikasi berbanding versi flagship, namun masih mengekalkan fokus terhadap prestasi dan pengalaman gaming. Kalau nak tau, inilah telefon pintar yang digunakan di Malaysian Honor of Kings League (MKL) Spring 2026.


Skrin 144Hz Dan Cip Snapdragon 8 Gen 5
iQOO 15R hadir dengan paparan AMOLED 6.59-inci beresolusi 1.5K (1080p+) yang menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz. Ini membolehkan pengalaman tatalan dan permainan yang lebih lancar, khususnya untuk judul kompetitif.
Dari segi prestasi, ia dijana oleh cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 5 yang dipadankan bersama iQOO Supercomputing Chip Q2 serta Monster HyperCore Engine. Kombinasi ini direka untuk memastikan prestasi yang konsisten, termasuk ketika menjalankan permainan berat dan aplikasi intensif.


Untuk pengurusan haba, peranti ini dilengkapi sistem 6.5K IceCore VC Cooling bersama lapisan grafit dwi-lapisan bagi membantu mengekalkan suhu operasi yang stabil.
Bateri 7,600mAh Dengan 100W FlashCharge
Salah satu tarikan utama iQOO 15R adalah bateri berkapasiti 7,600mAh. Ia turut menyokong pengecasan pantas 100W FlashCharge.


iQOO turut menyertakan fungsi Advanced Bypass Charging yang menyalurkan kuasa terus ke sistem ketika bermain permainan, sekaligus mengurangkan penghasilan haba serta membantu memelihara kesihatan bateri dalam jangka masa panjang.
Kamera 50MP Sony Dengan OIS
Dari segi fotografi, iQOO 15R menggunakan sensor utama 50MP Sony LYT-700V dengan sokongan OIS. Ia turut dilengkapi kamera ultra-lebar 8MP, manakala kamera hadapan pula adalah 42MP untuk swafoto dan panggilan video.


Peranti ini menjalankan OriginOS 6 yang dilengkapi Origin Smooth Engine, dengan janji pengalaman penggunaan yang lancar sehingga lima tahun. Beberapa fungsi berasaskan AI turut disertakan termasuk AI Creation dan AI Captions.
Sambungan Lebih Stabil
iQOO turut menyertakan cip khas Network Enhancement serta rekaan Surround Antenna Architecture untuk memastikan sambungan lebih stabil dan latensi rendah, terutama ketika berada di kawasan sesak.
Spesifikasi Ringkas iQOO 15R
- Paparan AMOLED 6.59-inci (1080p+, 144Hz)
- Qualcomm Snapdragon 8 Gen 5
- 12GB RAM
- Storan sehingga 512GB
- Kamera belakang:
- 50MP f/1.8 (PDAF, OIS)
- 8MP f/2.2 (Ultra-lebar)
- Kamera hadapan 42MP
- Bateri 7,600mAh
- 100W pengecasan berwayar
- Pilihan warna: Dark Knight, Pixel Silver
Harga Dan Ketersediaan


iQOO 15R ditawarkan pada harga berikut di Malaysia:
- 12GB + 256GB – RM2,499
- 12GB + 512GB – RM2,699
Ia boleh didapati melalui kedai rasmi iQOO di TikTok, Shopee dan Lazada, selain di vivo Concept Store terpilih.
Pembelian antara 2 hingga 8 Mac turut menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM458, termasuk iQOO Buds, lanjutan waranti 1+1 tahun dan waranti skrin retak selama 180 hari.


