Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) akan kembali ke pentas Esports World Cup (EWC) 2026 untuk tahun ketiga berturut-turut dengan peluasan slot bagi dua kejohanan utamanya, MLBB Mid Season Cup (MSC) dan MLBB Women’s Invitational (MWI). Keseluruhan acara MLBB di EWC 2026 menawarkan jumlah hadiah terkumpul sebanyak USD 3.5 juta.


Slot MSC di EWC 2026 Lebih Meluas
MSC di EWC 2026 bakal menampilkan 16 pasukan terbaik dunia, dengan pengenalan Wild Card terbesar setakat ini melibatkan 10 pasukan termasuk wakil dari Western Europe. alah satu perubahan paling ketara tahun ini ialah pengenalan Wild Card terbesar dalam sejarah MSC. Sebanyak 10 pasukan akan bertanding di peringkat ini, termasuk wakil dari Western Europe yang kini mula mendapat tempat dalam ekosistem kompetitif MLBB.
Perkembangan ini turut mengukuhkan struktur lima wilayah utama MLBB, iaitu:
- EA (Asia Timur)
- SEA (Asia Tenggara)
- EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afrika)
- AMER (Amerika)
- EECA (Eropah Timur dan Asia Tengah)


MWI 2026 Perluas Peluang untuk Pemain Wanita
Sementara itu, MWI 2026 akan menghimpunkan 16 pasukan wanita terbaik dunia dan memperkenalkan Western Europe Qualifier buat pertama kali. Sebagai juara bertahan, Team Vitality secara automatik layak ke kejohanan bagi mempertahankan gelaran mereka sebagai pasukan wanita MLBB terbaik dunia. Tahun lalu, pasukan ini mencipta sejarah dengan meraih gelaran MWI ketiga mereka selepas melakukan kebangkitan dramatik dalam kejohanan tersebut.
MWI di EWC 2026 dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 17 Julai dan dijangka sekali lagi menjadi pentas penting untuk mengetengahkan bakat pemain wanita di peringkat antarabangsa.


Pada EWC 2025, MLBB muncul sebagai salah satu judul paling banyak ditonton dalam acara tersebut, dengan lebih 47 juta jam tontonan. Angka ini mewakili lebih 12% daripada jumlah keseluruhan tontonan merentasi 25 disiplin esports yang dipertandingkan.
MSC pada tahun tersebut juga mencatat sejarah apabila mencapai lebih 3.26 juta Peak Concurrent Viewers (PCV), membuktikan bahawa MLBB terus mendapat sambutan besar daripada komuniti esports global.


