Roblox secara rasminya telah melancarkan akaun Roblox Kids dan Roblox Select di peringkat global. Langkah ini bertujuan untuk menyesuaikan akses permainan dan ciri platform tersebut secara automatik mengikut umur pengguna. Selepas fasa ujian awal di Australia, Indonesia, Belanda, dan New Zealand, pelancaran global ini memastikan kanak-kanak dapat meneroka puluhan ribu permainan kegemaran mereka dalam persekitaran yang jauh lebih selamat.
“Zaman sekarang, nak sekat 100% memang tak boleh. Tapi sekurang-kurangnya, sebagai mak bapa, tahu apa yang anak tengok dan boleh pantau.”


Sistem Akaun Baharu Mengikut Umur dan Tetapan Sembang
Roblox direka untuk berkembang bersama pengguna, membantu mereka membina kemandirian digital secara berperingkat sambil memberikan kawalan penuh kepada ibu bapa.
Sistem akaun dibahagikan seperti berikut:
- Roblox Kids (Umur 5–8 tahun): Mempunyai tetapan standard paling ketat. Fungsi sembang (chat) akan dimatikan secara automatik, namun ibu bapa boleh mengubah tetapan ini jika mahu.
- Roblox Select (Umur 9–15 tahun): Memberikan akses kepada kandungan yang sedikit lebih matang secara berperingkat. Fungsi sembang akan dibuka secara perlahan-lahan dengan perlindungan yang ketat.
- Roblox (Umur 16 tahun ke atas): Akaun penuh yang memerlukan pengesahan umur sama ada melalui dokumen pengenalan diri (ID) atau sistem Anggaran Umur Wajah (Facial Age Estimation) yang selamat.


Nota Penting: Pengguna yang TIDAK melakukan pengesahan umur (hanya mengisytiharkan umur sendiri tanpa bukti ID) TIDAK AKAN DIBENARKAN untuk berbual (chat) di Roblox, tidak kira berapa pun umur mereka. Ibu bapa perlu mengesahkan umur anak untuk mengaktifkan ciri sembang bersyarat.
Penapisan Ketat untuk Permainan dan Pautan Sosial
Untuk memastikan keselamatan ekosistem ini, pembangun permainan (developers) yang ingin memasukkan game mereka ke dalam katalog Roblox Kids dan Select mesti memenuhi syarat ketat:
- Melakukan pengesahan ID diri.
- Mengaktifkan pengesahan 2-faktor (2FA).
- Membayar yuran langganan atau yuran penerbitan sekali bayar (yang boleh dikembalikan).
Roblox juga melakukan penilaian masa nyata (real-time) dan mengharamkan permainan yang mempunyai ciri “tempat melepak sosial” (social hangout), ciri melukis bebas, atau isu sensitif. Malah, ciri perkongsian video Roblox Moments serta pautan media sosial dalam profil atau huraian permainan tidak akan dipaparkan kepada pengguna akaun Kids dan Select.
Kawalan Penuh di Tangan Ibu Bapa


Ibu bapa yang memautkan akaun mereka dengan akaun anak-anak akan mendapat akses kepada pelbagai fungsi kawalan (Parental Controls):
- Anak bawah 13 tahun: Ibu bapa boleh menyemak senarai rakan, menyekat/melaporkan pengguna lain, meluluskan permintaan “Rakan Dipercayai” (Trusted Friends), serta menetapkan had masa skrin dan had perbelanjaan.
- Anak bawah 16 tahun: Ibu bapa mempunyai kuasa penuh untuk mengubah tetapan sembang dan membenarkan atau menyekat permainan tertentu.
- Remaja (16–18 tahun): Kawalan langsung dikurangkan bagi memberi ruang privasi, namun ibu bapa tetap menerima notifikasi tentang perbelanjaan, masa skrin, dan senarai rakan anak mereka untuk tujuan pemantauan.


