Demam e-sukan Free Fire kembali membara apabila Garena mengundang seluruh peminat di Malaysia untuk menyaksikan kemuncak Grand Finals Free Fire Malaysia Championship (FFMC) 2026 Fall. Kejohanan ini bakal berlangsung Sabtu ini, 11 Julai, bertempat di Quill City Mall, Kuala Lumpur.
Sebanyak 12 pasukan terbaik tanah air yang berjaya melepasi Peringkat Kalah Mati yang sengit akan berentap demi merebut gelaran juara serta sebahagian daripada hadiah terkumpul bernilai USD50,000.
Atur Cara & Aktiviti Menarik Untuk Peminat.


Acara akan dibuka kepada orang ramai bermula jam 11:00 Pagi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk stesen permainan, booth foto magnet instan percuma, jualan jersi/merchandise eksklusif, cabaran Bingo, dan cabutan bertuah. Pihak Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) turut membuka kaunter bagi mereka yang ingin menerokai ekosistem e-sukan negara.
Antara acara lain yang paling dinantikan:


- Perlawanan Pertunjukan (Showmatch) KOL 4v4 antara Malaysia (Masdo, Ayyied, Lordzamm, Xspezx) menentang Indonesia (Dejet, Arkan, Asep, Kamiel).
- Petang: Sesi beramah mesra dan penyerahan bendera (send-off) untuk Aurora Gaming sebelum mereka berlepas ke Paris.
- Bermulanya perlawanan utama Grand Finals FFMC 2026 Fall.
Senarai 12 Pasukan Finalis FFMC 2026 Fall
- AURORA GAMING (Wakil EWC 26 Paris, tampil dengan jurulatih baharu, Putra)
- EXPAND (Pasukan veteran paling konsisten)
- ARGON (Gaya permainan agresif, diketuai Faizz MVP Spring)
- MAQNA ESPORTS CLUB (Tampil kuat dengan kemasukan Viruzz dan Winzzy)
- ROCKS ESPORTS (Mempunyai reputasi besar dalam komuniti tempatan)
- SSZ x PSSJ (Gaya permainan mekanik tinggi diketuai Lufyyy)
- TEAM HAQ (Gandingan mantap Mikaca dan pakar sniper, Kenshin)
- ARCADIA ESPORTS (Barisan pemain berpengalaman seperti Raymiel dan XROYZ)
- VETO KNIGHT (Pasukan konsisten yang dipimpin oleh star rusher, Cokiy)
- ENIGMAX ESPORTS (Terkenal dengan disiplin posisi yang tinggi)
- MNA_EWG (Kembali dengan impian membuktikan kemampuan sebenar)
- ELITE (Roster baharu yang berdaya tahan tinggi)
Nota Penting: Kesemua 12 finalis ini telah pun mengesahkan slot automatik ke Free Fire World Series (FFWS) Malaysia 2026 Fall pada 25 Julai ini. Tiga pasukan teratas dari sana pula akan mara ke peringkat Asia Tenggara (FFWS SEA Fall).
Sokong Aurora Gaming ke Paris (EWC 26)


Sebagai satu-satunya wakil Malaysia ke kejohanan dunia ‘Free Fire at EWC 26’ di Paris, Perancis pada 15 hingga 18 Julai ini, Aurora Gaming bakal membawa harapan negara untuk merebut hadiah terkumpul USD1,000,000 dan tiket ke FFWS Global Finals di Bangkok. Jangan lepaskan peluang memberikan sokongan moral kepada mereka Sabtu ini!
Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal, anda boleh menonton siaran langsung dalam Bahasa Melayu bermula jam 3:30 Petang di saluran YouTube dan TikTok rasmi Free Fire Malaysia.


