Semasa minggu pertama PUBG Mobile World Invitational 2022 yang lepas, James JinHo Yang dari PUBG Mobile Esports mengumumkan jadual dan lokasi PUBG Mobile Global Championship (PMGC) 2022. Dari pengumuman tersebut, Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi pusingan akhir PMGC 2022 yang akan diadakan pada Januari 2023 kelak. Dalam pada masa yang sama, kejohanan PUBG Mobile Regional Clash (PMRC) juga diumumkan yang melibatkan pertembungan pasukan dari Peacekeeper Elite League (PEL) dan pasukan Liga Profesional PUBG Mobile (PMPL) dari rantau Asia Tenggara.
Untuk PMRC, ianya akan berlangsung pada 22 hingga 25 September 2022 (4 hari) tetapi jumlah pasukan yang terlibat dan format kejohanan masih lagi menjadi tanda tanya. Hari ini melalui akaun Weibo PEL, mereka berkongsikan dimana tiga pasukan teratas dari pusingan akhir PEL Summer 2022 akan menerima jemputan ke PMRC. PEL Summer 2022 akan bermula esok (18 Ogos) dan akan tamat pada 21 Ogos 2022.
Bagi pasukan yang akan mewakili rantau Asia Tenggara, kami masih belum mendapatkan maklumat yang sahih untuk dikongsikan. Dari perkiraan kami, kemungkinan beberapa pasukan yang mendapat kedudukan teratas di PMPL Country Finals yang akan berlangsung minggu hadapan mempunyai peluang untuk mendapat tiket bagi kejohanan PMRC ini.
Bagi PEL Summer 2022, ianya menawarkan 8 juta Chinese Yuan (kira-kira RM5.2 Juta) bagi juara kejohanan tersebut dari 27.5 juta Chinese Yuan (kira-kira RM18.1 Juta) hadiah wang terkumpul bagi kejohanan tersebut. Selain dari itu, juara PEL Summer 2022 akan mendapat jemputan terus ke pusingan akhir PMGC 2022 manakala naib johan dan tempat ke-3 akan layak ke pusingan liga PMGC 2022. Tiket terakhir ke PMGC 2022 yang hadir dari PEL akan ditentukan dalam kejohanan kelayakan yang akan berlangsung selama 4 minggu bermula 29 September dan berakhir pada 23 Oktober. Ianya akan melibatkan bagi 18 pasukan yang bertanding di PEL 2022.
1 Comment
Pingback: Team SMG Juara PEL Summer 2022 – Layak Ke PMGC 2022 Finals – Arked MY