Dengan kemas kini besar ini, Warzone Mobile juga tidak terkecuali daripada perubahan yang akan berlaku. Activision mengesahkan bahawa Warzone Mobile akan menerima ciri-ciri yang sama seperti versi konsol dan PC, termasuk integrasi penuh dengan kandungan dari BO6 dan Warzone S1. Walau bagaimanapun, untuk memastikan pengalaman permainan yang lancar dan memanfaatkan teknologi terkini seperti Omnimovement dan tekstur tanpa had (bindless texturing), Activision akan mengemas kini spesifikasi minimum untuk peranti mudah alih.
Spesifikasi Minimum Baru: iOS 17 dan Android 13 Ke Atas
Bermula 14 November, pemain Warzone Mobile perlu menggunakan peranti yang menyokong iOS 17 atau versi lebih tinggi, atau peranti Android yang menjalankan Android 13 atau lebih baru. Activision juga menyatakan bahawa peranti yang disokong perlu mampu menyokong bindless texturing, yang merupakan ciri grafik canggih yang meningkatkan kualiti visual dan prestasi permainan.
Walaupun kebanyakan peranti yang menjalankan iOS 17 atau Android 13 dijangka sudah mempunyai GPU yang mampu menyokong ciri ini, Activision telah menyediakan senarai penuh peranti yang tidak disokong. Anda boleh ke pautan ini. Bagi pemain yang menggunakan peranti yang tidak disokong, mereka masih boleh bermain menggunakan versi 3.10, namun mereka tidak akan menerima kandungan baru dari Musim 1. Versi 3.10 ini juga akan menjadi tidak boleh dimainkan selepas 5 Mei 2025.
Activision mengakui bahawa perubahan ini akan memerlukan beberapa peningkatan teknikal, namun mereka berjanji akan memastikan pengalaman permainan yang lebih lancar dan menarik bagi semua pemain. Bagi pemain yang menggunakan peranti yang lebih lama, ini mungkin menjadi masa yang tepat untuk mempertimbangkan naik taraf ke peranti yang lebih baru untuk terus menikmati permainan tanpa gangguan.