VALORANT baru sahaja mengumumkan format baharu VALORANT Challengers bagi tahun 2023. Format baharu ini akan memainkan peranan penting dalam menonjolkan bakat pemain baharu yang akan datang, memberi peluang kepada pasukan lain untuk bermain di liga Antarabangsa dan menjadikan ekosistem e-sukan Valorant lebih sistematik. Liga Antarabangsa diperkenalkan pada tiga wilayah iaitu Americas, EMEA dan Pacific pada tahun hadapan di mana 10 pasukan francais bakal bertanding mengikut wilayah masing-masing dan juara bagi setiap wilayah akan bertanding di kejohanan global.
Pada tahun hadapan, lebih 20 liga Challengers dianjurkan di seluruh dunia bagi memastikan pemain Valorant mempunyai hala tuju yang jelas dalam menjayakan impian sebagai pemain kompetitif. Liga Challengers akan bermula dengan Kelayakan Terbuka dan pasukan yang berjaya di kelayakan tersebut akan bertanding dalam Regular Season. Setelah tamat Regular Season, liga akan diteruskan dengan peringkat Playoff bagi menentukan juara bagi setiap liga mengikut wilayah masing-masing. Liga Challengers juga bakal ditayangkan secara langsung bagi memberi peluang kepada setiap pasukan dan pemain menunjukkan setiap bakat dan kemahiran kepada penonton di seluruh dunia.
Challenger Ascension diperkenalkan di mana kejohanan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pasukan bukan francais untuk bertanding di Liga Antarabangsa. Kejohanan Challengers Ascension bakal terdiri dari seluruh pasukan juara bagi wilayah masing-masing. Pasukan yang memperoleh kemenangan pada setiap kejohanan Challengers Ascension akan mendapat slot untuk bertanding dalam liga Antarabangsa bagi tahun berikutnya.
Setiap tahun, slot Liga Antarabangsa akan berkembang dengan penambahan satu pasukan sehingga mencapai had maksimum iaitu 14 pasukan pada tahun 2027. Pasukan yang mendapat kemenangan di Challengers Ascension akan mendapat slot di Liga Antarabangsa bagi wilayah masing-masing selama dua tahun. Selama tempoh dua tahun , pasukan ini akan mendapat peluang untuk bertanding dengan pasukan francais Liga Antarabangsa serta peluang sama-rata bagi melayakkan diri ke Masters dan Champions. Selepas berakhirnya tempoh dua tahun tersebut, pasukan tersebut akan memulakan kembali perjalanan mereka dari bawah iaitu melalui kejohanan Challengers dan Ascension.
Format baharu Valorant Challengers 2023 dijangka bakal berlaku pada pertengahan bulan Februari tahun hadapan. Format ini bakal memberi peluang kepada pasukan atau pemain yang ingin berkecimpung dalam ekosistem e-sukan Valorant dengan hala tuju yang lebih jelas dan berdaya saing. Buat masa ini, tiada informasi lebih menyeluruh mengenai pasukan-pasukan yang bakal menyertai Liga Antarabangsa dan sebagainya. Pihak kami akan mengemaskininya jika terdapat info-info dan maklumat terkini mengenai perkara tersebut.