Malaysia meraih pingat perak e-sukan pertamanya dalam Sukan SEA menerusi acara berpasukan campuran Attack Online 2 (AK2) di sini hari ini. Pasukan kebangsaan, terdiri daripada lima pemain — Harriq Izzat Amirul Muhammad (Puaka), Iqbal Harun (KienKien12), Fazrul Izwan Roslan (Saviourz), Reydza Pyar Dasha Fadilah (Zetsu) dan Shah Rullah Muadzah Sauki (Kinda) — tewas 0-3 kepada Kemboja dalam perlawanan pingat emas yang diadakan di kompleks Naga World 2.
Seperti yang kita tahu, Attack Online 2 (juga dikenali sebagai Mission Against Terror 2) ini bukan lah pemainan yang popular di negara ini. Permainan FPS untuk platform peranti mudah alih dan PC ini adalah permainan paling popular buat negara tuan rumah Sukan SEA iaitu Kemboja.
Selain Attack Online 2, negara juga menghantar wakil bagi permainan PUBG Mobile (Kategori Solo & Pasukan), Mobile Legends Bang Bang (Kategori Lelaki & Perempuan), dan Valorant (Pasukan).