Kebelakangan ini, kami melihat ramai pencipta kandungan memainkan TCG Card Shop Simulator. Permainan ini dibangunkan oleh OPNeon Games dari Selangor, Malaysia. TCG Card Shop Simulator merupakan simulasi kedai kad dagangan, seperti Kad Pokemon, di mana anda menjual pek booster untuk memperoleh wang dan membina perniagaan kedai kad anda. Dalam permainan ini, anda akan mengurus kedai, membeli stok, dan menarik pelanggan dengan pelbagai jenis kad. Setiap keputusan yang anda buat akan memberi kesan kepada kejayaan perniagaan anda.
Semalam, pembangun permainan ini mengumumkan bahawa mereka akan menambah matawang Ringgit Malaysia ke dalam permainan melalui laman Reddit. Terdapat juga cadangan daripada pemain untuk menambah pilihan pembayaran seperti TouchNGo dan Maybank/DuitNow QR Code.
Pada masa ini, TCG Card Shop Simulator masih dalam fasa Early Access di Steam dengan harga RM34. Tarikh pelancaran sepenuhnya belum diumumkan oleh OPNeon Games. Apa pun, teruskan sokongan anda kepada pembangun permainan tempatan. Sama-sama kita menyokong produk buatan Malaysia!
Sumber: [Aksiz] [Lowyat.Net Forum]