Valorant Champions Tour (VCT) 2025 bakal membawa perubahan yang ketara kepada struktur kejohanan, memberikan peluang yang lebih besar kepada pasukan profesional dan semi-profesional di seluruh dunia.
Bermula tahun hadapan, VCT International League akan dimulakan dengan kejohanan Kickoff pada bulan Januari hingga Februari. Kejohanan Kickoff ini akan menggunakan format double-elimination bracket, di mana empat pasukan layak pada pusingan kedua secara automatik. Dua pasukan teratas dari setiap rantau akan layak ke VCT Masters : Bangkok, yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, pada bulan Februari hingga Mac. Lapan pasukan akan bersaing di kejohanan ini, dan format kejuaraan akan diumumkan kemudian.
Seterusnya, VCT International League diteruskan dengan liga peringkat pertama pada bulan Mac hingga Mei. Mulai 2025, jumlah pasukan yang layak ke Playoffs akan meningkat daripada enam kepada lapan pasukan bagi setiap liga antarabangsa. Tiga pasukan teratas dari liga peringkat pertama ini akan layak ke VCT Masters: Toronto, kejohanan antarabangsa kedua tahun ini, yang menampilkan 12 pasukan bertanding di Toronto, Canada. Format kejuaraan ini juga akan diumumkan pada masa akan datang. Selepas kejohanan VCT Masters: Toronto, liga peringkat kedua akan bermula, dan empat pasukan teratas dari liga ini akan layak ke VCT Champions 2025 berdasarkan dua kedudukan tertinggi dari liga kedua dan dua lagi dari Championship Points.
Valorant Champions 2025 akan diadakan di Paris, Perancis, di mana 16 pasukan akan bersaing untuk merebut gelaran juara dunia bagi musim VCT. Maklumat format kejohanan akan diumumkan kemudian, menjadikan kejohanan ini kemuncak kepada keseluruhan musim kompetitif Valorant bagi tahun 2025.
Bagi kejohanan semi-profesional yang dikenali sebagai VCL (Valorant Challengers League), beberapa perubahan besar diperkenalkan. Pasukan partnership VCT kini dibenarkan untuk menubuhkan pasukan akademi yang boleh bertanding dalam VCL, tetapi pasukan akademi ini tidak akan layak atau dibenarkan bertanding untuk kejohanan Ascension. Kejohanan VCL akan diteruskan pada pengakhiran tahun ini akan dikenali sebagai VCL Split 3. Selain itu, beberapa perubahan struktur liga VCL di rantau lain juga akan diperkenalkan.
Rantau Amerika akan mengekalkan tiga liga iaitu VCL North America, VCL Brazil, dan VCL Latin America. Walaupun tiada perubahan besar bagi rantau ini, ketiga-tiga liga ini akan terus memberikan laluan kepada pasukan untuk merebut tempat di liga antarabangsa melalui Ascension.
Rantau EMEA juga kekal stabil secara keseluruhannya, namun akan menyaksikan VCL Italy dan VCL Portugal dan VCL Spain digabungkan di bawah satu liga besar VCL Spain. Gabungan ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing rantau tersebut dengan lebih banyak pasukan bertanding di bawah satu bendera, sekaligus menambah kedalaman bakat dalam rantau tersebut.
Rantau Pasifik akan melihat perubahan paling ketara, khususnya di Asia Tenggara, di mana enam liga VCL yang sedia ada—VCL Thailand, VCL Vietnam, VCL Malaysia & Singapore, VCL Hong Kong & Taiwan, VCL Filipina, dan VCL Indonesia—akan digabungkan menjadi satu liga tunggal iaitu VCL Southeast Asia (Asia Tenggara). Gabungan liga ini dijangka akan meningkatkan kualiti persaingan di rantau ini dengan menampilkan pasukan terbaik dari seluruh Asia Tenggara bersaing dalam satu kejohanan yang lebih besar dan lebih kompetitif.
Bagi rantau China, mereka akan terus menggunakan sistem yang telah diperkenalkan pada tahun ini, di mana tiada liga VCL yang rasmi tetapi terdapat kejohanan kompetitif lain yang berfungsi sebagai laluan untuk pasukan China ke Ascension dan International League. Pasukan dari rantau ini bukan sahaja perlu aktif bersaing, tetapi juga perlu melalui proses verifikasi bagi memastikan kelayakan pasukan mereka ke liga antarabangsa.
Selain itu, terdapat perubahan peraturan yang melibatkan pasukan non-partnership yang bertanding di International League. Peraturan baru ini menyatakan:
- Jika pasukan non-partnership berada di kedudukan ke-9 hingga ke-12 dalam International League, mereka akan diturunkan secara automatik ke VCL bagi tahun berikutnya. Jika dua pasukan non-partnership diturunkan, maka pasukan yang mendapat tempat kedua dalam kejohanan Ascension akan diberi slot ke International League.
- Jika pasukan non-partnership berakhir di kedudukan ke-5 hingga ke-8, mereka akan diberi peluang untuk mendapatkan slot kembali melalui kejohanan Ascension.
- Sekiranya pasukan non-partnership layak ke kejohanan Valorant Champions, pasukan tersebut akan mengekalkan slot mereka di International League bagi tahun berikutnya. Jika kedua-dua pasukan non-partnership layak, pasukan yang berada di kedudukan tertinggi dalam Champions akan mengekalkan slot, manakala pasukan kedua akan diberi peluang melalui Ascension.
Untuk kejohanan Game Changers, perubahan terbesar adalah peningkatan slot bagi kejohanan dunia dari lapan ke sepuluh pasukan yang akan berkuatkuasa tahun ini, memberikan lebih banyak peluang kepada pasukan wanita di seluruh dunia untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Dengan pelbagai perubahan menarik ini, VCT 2025 menjanjikan musim yang lebih mencabar dan kompetitif. Di samping itu, Riot Games baru sahaja mengumumkan bahawa VALORANT Champions akan berlangsung di China pada tahun 2026 dan dijalankan di Amerika bagi tahun 2027. Jangan lupa untuk terus mengikuti perkembangan dan menyokong pasukan kegemaran anda sepanjang musim!