Bully Online, sebuah mod yang menambah ciri permainan berbilang pemain dalam talian untuk game klasik Rockstar Bully, akan ditutup sepenuhnya kurang sebulan selepas dilancarkan. Mod ini dibangunkan oleh kumpulan peminat dan modder dikenali sebagai Fat Pigeon, diketuai oleh pencipta kandungan Bully, Swegta.


Dilancarkan pada 15 Disember di PC, Bully Online membolehkan pemain menikmati pelbagai kandungan baharu seperti mini permainan, aktiviti multiplayer, kenderaan khas dan perlumbaan kompetitif. Kehadirannya disambut baik peminat, terutamanya kerana Rockstar Games dilihat tidak berminat menghasilkan sekuel atau versi remaster untuk Bully.
Namun pada 14 Januari, satu pengumuman di Discord rasmi Bully Online mengesahkan bahawa projek ini akan ditutup “selamanya” dalam tempoh 24 jam. Pembangunan kandungan baharu dihentikan, kod sumber akan dipadam, laman web berkaitan ditutup dan semua data akaun pemain akan dipadamkan. Pelayan permainan juga akan ditutup sepenuhnya.


Setakat ini, tiada penjelasan rasmi diberikan mengenai punca penutupan. Pihak pembangun menegaskan keputusan ini bukan kehendak mereka, dan Swegta dijangka mengeluarkan kenyataan penuh pada 21 Januari. Walaupun ramai peminat menyalahkan Rockstar Games dan syarikat induknya, Take-Two Interactive, punca sebenar masih belum disahkan.


