Riot Games telah mengesahkan bahawa lagu terbaru Linkin Park, ‘Heavy is the Crown’, akan menjadi lagu tema bagi League of Legends World Championship (LoL) tahun ini. Lagu tema LoL Worlds biasanya menjadi salah satu lagu profil tinggi yang meraih ratusan juta pendengar di pelbagai platform dalam talian. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa artis terbesar dunia telah menyumbangkan bakat dan profil mereka untuk Kejohanan Dunia League of Legends. Untuk edisi sebelum ini, NewJeans kumpulan K-Pop dari Korea Selatan itu juga menyumbangkan lagu tema untuk kejohanan tersebut.
‘Heavy is the Crown’ adalah salah satu lagu terbaru Linkin Park yang diambil daripada album terbaru mereka, ‘From Zero’, yang merupakan album ke-lapan mereka yang bakal dilancarkan 15 November kelak. Baru-baru ini, Linkin Park juga memperkenalkan penyanyi utama baru, Emily Armstrong, yang menggantikan mendiang Chester Bennington yang meninggal dunia pada tahun 2017. Lagu ‘Heavy is the Crown’, yang dijangka menjadi salah satu lagu tema LoL Worlds, akan dilancarkan di YouTube pada 24 September jam 10.55 malam (waktu Malaysia).
Kejohanan Dunia LoL tahun ini akan berlangsung di O2 Arena, London, England bermula dari 25 September hingga 2 November, 20 pasukan terbaik LoL dari seluruh dunia akan berentap untuk merebut hadiah sebanyak $2,225,000. Ia adalah salah satu acara terbesar dalam kalendar esukan, dan acara tahun lepas mencatat jumlah tontonan serentak mencapai 6.4 juta penonton, memecahkan rekod tontonan tertinggi sepanjang masa bagi satu acara esukan, tidak termasuk jumlah tontonan dari China.
League of Legends World Championship, atau Worlds, adalah sebuah kejohanan esukan tahunan yang menentukan juara dunia bagi permainan MOBA terbesar di dunia, League of Legends. Ia merupakan salah satu acara esukan terbesar dan paling berprestij di peringkat global, menarik jutaan penonton dari seluruh dunia. Bagi anda yang ingin menonton dan mengetahui jadual perlawanan, sila ke LoLEsports.com untuk maklumat lanjut.
Sumber: LoLEsports.com